Search This Blog

Monday, November 16, 2009

Ziarah Anak-Anak Yatim dan Fakir Miskin dari Pantai Dalam



Berita gembira buat penghuni Wardatul Jannah kerana mereka bakal menerima sahabat-sahabat baru dari Pantai Dalam!

Pada hari Sabtu 14 November 2009, kira-kira jam 9.00 pagi, Wardatul Jannah telah menerima kunjungan rombongan dari Pantai Dalam. Rombongan yang diketuai oleh Ustaz Dino ini disertai oleh 6 orang anak yatim dari Pantai Dalam, diiringi oleh ibu masing-masing. Tujuan ziarah ini ialah untuk saling mengenali antara calon bakal penghuni dan famili Wardatul Jannah.

Ibu-ibu dan AJK pengiring diberi peluang menilai sendiri fasiliti Wardatul Jannah supaya mereka lebih yakin dan selesa untuk melepaskan anak-anak kesayangan masing-masing di bawah jagaan Yayasan Wardatul Jannah. AJK Pengiring juga mendapat pendedahan terus tentang pengurusan Wardatul Jannah dan bagaimana kerjasama berpanjangan boleh diusahakan di antara kedua-dua belah pihak. Anak-anak pula boleh melihat sendiri tempat yang bakal menjadi rumah kedua mereka nanti sekiranya persetujuan dicapai oleh semua pihak yang terlibat.

Pihak Wardatul Jannah sangat berbesar hati menerima kedatangan rombongan ini dan diharapkan satu kerjasama erat dalam mendidik dan membentuk sahsiah anak-anak harapan bangsa ini akan berpanjangan.

Gotong Royong Bersama Seliatek Industries

Laman wardatuljannah semakin berseri apabila Seliatek Industries dari Taman Industri Sungai Buloh telah bermurah hati menyumbangkan 1000 kaki persegi rumput yang ditanam beramai-ramai pada hari Sabtu, 8 November 2009 yang lalu. Program gotong-royong yang diserikan dengan kehadiran pemilik Seliatek Industries, Haji Wahid dan Haji Kassim telah bermula seawal 8.30 pagi dan berakhir kira-kira jam 11.00 pagi. Projek CSR syarikat ini turut dimeriahkan oleh kira-kira 30 orang warga Seliatek yang bermandi peluh meratakan tanah dan menanam rumput bersama-sama dengan AJK Wardatul Jannah. Tambah menyeronokkan, Seliatek turut menyumbang sarapan pagi yang dinikmati bersama-sama dengan penghuni yatim Wardatul Jannah.

Program ini diakhiri dengan penanaman pokok rambutan bersama-sama di pojok laman Wardatul Jannah oleh Haji Wahid dan Haji Kassim selaku wakil Seliatek, dan Dato' Shakir Husein Kalid dan Haji Ab Talib Md Yatim bagi pihak Wardatul Jannah. Semoga pokok rambutan ini tumbuh subur sepertimana suburnya sikap dermawan para penyumbang.