Search This Blog

Sunday, December 26, 2010

Tahniah untuk Adik Amirul Hessham

Tidak disangka-sangka Adik Amirul Hessham berjaya mendapat tempat pertama di dalam kelas dan di atas kejayaan tersebut, Amirul telah menerima hadiah istimewa sempena Hari Anugerah Cemerlang 2010 Sekolah Kebangsaan Seksyen 9, Kota Damansara yang disempurnakan pada 11 November 2010.



Selain daripada itu, Amirul juga berjaya menjadi pelajar terbaik subjek Kemahiran Hidup untuk Darjah 6.

Pihak Yayasan Wardatul Jannah turut berkongsi rasa bangga di atas kejayaan Amirul. Diharapkan kejayaan Amirul akan mencetuskan semangat membara di dada anak-anak Wardatul Jannah untuk berusaha dengan lebih kuat demi menggenggam sebuah kejayaan.

Tahniah!

Wanda Tunjuk Bakat Tarian

Sedang ibu-bapa dan para hadirin menanti dalam resah dan gelisah kerana cuaca yang agak panas, senyuman mula terukir di bibir apabila sekumpulan anak-anak comel menaiki pentas dengan langkah Tarian Endang!



Dan di antara yang tersenyum manis di atas pentas ialah adik Shahwanda yang lincah mengatur gerak tari endang, di bawah pimpinan Cikgu Shahrul. Berpakaian ungu dan bersamping kuning, dihiasi dengan jambul bulu hijau di songkok, Wanda cekap mengikut rentak tari dan memeriahkan majlis Hari Anugerah Cemerlang 2010 di Sekolah Kebangsaan Seksyen 9, Kota Damansara













Semoga Wanda menggunakan bakat yang dianugerahkan ke jalan yang memberi menafaat kepada bangsa, agama dan negara.

Wednesday, October 6, 2010

Majlis Aidil Fitri (JP) Selangor bersama D.Y.M.M. Sultan Selangor



Bertempat di Sunway Pyramid Convention Centre, Bandar Sunway, Petaling Jaya, Council of Justices of the Peace Selangor atau JP Selangor telah menganjurkan majlis menyambut Aidil Fitri 2010. Majlis diadakan pada hari Selasa 5 Oktober 2010, antara jam 11.00 pagi sehingga 3.30 petang.

Para tetamu tiba seawal 11.00 pagi sementara menunggu keberangkatan tiba DYMM Sultan Selangor Darul Ehsan ke majlis tersebut lebih kurang jam 12.00 tengahari. Pada majlis yang sama, Klinik Bergerak [JP] Selangor dirasmikan, sebelum acara utama iaitu penyampaian sumbangan kepada anak-anak yatim dan fakir miskin disempurkan oleh DYMM Sultan. Majlis turut diserikan dengan tayangan video serta persembahan hiburan sementara para tetamu menikmati hidangan.

Antara sumbangan yang disampaikan termasuklah sumbangan wang raya sebanyak RM 200 seorang kepada tetamu kecil anak yatim yang hadir. Yayasan Wardatul Jannah, melalui Pengerusinya, turut menerima sumbangan berjumlah RM 5,000.00 - alhamdulillah.

Program ini telah ditaja oleh MFDM Holdings sementara tajaan hidangan pula oleh pihak Sunway.

Tuesday, October 5, 2010

Rezeki Bulan Mulia


Bersempena dengan sambutan Aidil Fitri 2010, anak-anak yatim Wardatul Jannah tidak putus-putus menerima undangan rumah terbuka daripada para dermawan sekalian. Malah ada yang sanggup mengaturkan urusan logistik pergi dan balik anak-anak ini. Terima kasih juga diucapkan kepada mereka yangm telah bermurah hati dan berkongsi rezeki dengan menghadiahkan duit raya kepada anak-anak ini.

Pada malam Ahad 3 October 2010 pula, Pengurus Rumah Anak-Anak YATIM wardatul jannah telah menganjurkan majlis bacaan yassin, tazkirah dan doa selamat. Majlis bermula selepas maghrib dan para tetamu termasuk anak-anak Wardatul Jannah telah disajikan dengan hidangan ala Thai.

Thursday, September 23, 2010

Cabaran UPSR Kumpulan Pertama Wardatul Jannah

Setelah hampir setahun merancang dan menyediakan program ulangkaji intensif untuk anak-anak Wardatul Jannah, bermula 21 September 2010, sekumpulan 4 orang anak didik Wardatul Jannah menjadi kumpulan yang pertama mengambil peperiksaan UPSR.

Diharapkan supaya anak-anak ini mencapai kejayaan yang baik demi jaminan masa depan mereka. Sama-samalah kits berdoa mudah-mudahan kejayaan di dalam UPSR ini menjadi titik perubahan kepada anak-anak ini.

Majlis Berbuka Puasa 2010

Pihak Yayasan telah menganjurkan Majlis Berbuka Puasa serta Solat Sunat Tarawih bertempat di Rumah Anak-Anak Yatim Wardatul Jannah pada hari Jumaat 3 September 2010.

Majlis ini dianjurkan bagi merapatkan silaturrahim antara sukarelawan Wardatul Jannah dan para dermawan yang selama ini telah bermurah hati menyalurkan bantuan kewangan dan perkakasan bagi mempastikan pentadbiran rumah anak-anak yatim ini berjalan lancar.

Hidangan makan malam telah ditaja oleh salah seorang sukarelawan. Malah para dermawan juga telah sudi menokok tabungan yayasan sempena mengambil berkat bulan Ramadhan yang mulia ini.