Search This Blog

Monday, May 6, 2013

Malam Amal Wardatul Jannah - Cinta ke Hadrat Ilahi


Malam Amal Wardatul Jannah “Cinta ke Hadrat Ilahi” telah berjaya diadakan pada 1 Mei 2013 yang lepas bertempat di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur. Malam Amal ini dilaksanakan bagi mengumpul dana untuk mendirikan Kompleks Pembangunan Insan Yayasan Anak-Anak Yatim Wardatul Jannah. Yayasan berharap untuk menubuhkan sebuah kompleks kediaman dan pendidikan anak-anak yatim yang moden dan lengkap disamping menambah pengambilan anak-anak yatim dan fakir miskin sehingga 100 orang.

Lokasi: Dewan Perdana Felda



Y.Bhg. Dato’ Sri Mahamad Fathil Bin Dato’ Mahmood dan isteri Datin Sri Zurina Zulkiflee telah dijemput sebagai tetamu kehormat pada Malam Amal kali ini. Majlis pada malam tersebut dimeriahkan lagi dengan kemunculan 2 artis tempatan iaitu Nora dan Yasin. 

                                     
Anak-anak yatim yang diraikan menyambut kedatangan para tetamu



Nora dan Yasin: Artis yang menghiburkan suasana pada malam tersebut.

Jutaan terima kasih kepada semua AJK dan sukarelawan yang telah berusaha dengan gigih untuk menjayakan majlis pada malam tersebut. Juga kepada para dermawan yang terdiri daripada individu-individu dan syarikat-syarikat korporat mahupun persendirian yang telah sudi memberi sumbangan bagi menjayakan majlis makan malam amal ini. Semoga Allah membalas amal jariah kalian sebaiknya. Amin!

Terima kasih semua

                                             

Friday, April 12, 2013

Ucapan Aluan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YWJ sempena Malam Amal YWJ 2013



Assalamualaikum wbt.

Pertamanya, setinggi-tinggi jutaan terima kasih kepada semua penderma yang telah bermurah hati sudi memberikan sumbangan ikhlas kepada Yayasan Anak-Anak Yatim Wardatul Jannah. Jasa baik anda semua adalah amat dihargai, moga Tuhan membalas amal jariah anda ini dengan sebaiknya, in shaa Allah. Selain itu, ribuan terima kasih juga diucapkan kepada semua AJK Pembangunan YWJ yang telah bertungkus lumus menjayakan program pada malam ini. Tanpa ada semua, tidak akan ada majlis yang sebegini meriahnya.

Sesungguhnya komitmen untuk membela nasib anak-anak yatim dan fakir miskin ini adalah komitmen yang perlu ditingkatkan dari masa ke masa bersesuaian dengan kata-kata “the more you give, the more you will get”. Hal ini juga bertepatan dengan sabda Nabi Muhammad s.a.w.: “Tidak akan dikurangi harta dengan sebab bersedekah, Allah tidak menambah keampunan seseorang hamba melainkan seseorang itu ditambahkan dengan kemuliaan. Tidaklah seseorang itu merendah diri kerana mengharapkan keredhaan Allah melainkan akan diangkatkan darjatnya.” H.R. Muslim. Justeru, sedekah ini adalah amat dituntut oleh Islam seiring dengan nilai kebaikan sejagat seperti prihatin, menjaga kepentingan masyarakat yang mana golongan yang mampu memberi bantuan kepada golongan yang serba kekurangan.

Buat pengetahuan semua, pihak Yayasan kini sedang dalam rangka usaha untuk membangunkan sebuah kompleks pembangunan modal insan bagi menempatkan lebih ramai anak yatim dan fakir miskin. Sehingga kini, pihak kami telah berjaya mendapatkan tapak tanah untuk pembinaan kompleks tersebut. Maka untuk fasa seterusnya, kami sedang giat mendirikan bangunan kompleks yang bernilai RM 1 juta tersebut. Melalui kompleks pembangunan insan ini kelak, pihak Yayasan berharap untuk menyediakan prasarana kehidupan yang lebih baik kepada penghuni-penghuninya dengan keutamaan pendidikan agama dan akademik serta sahsiah yang tinggi seiring dengan motto Yayasan sendiri iaitu Insaniah, Rabbaniyah dan Wasatiyyah.

Akhir kata, jutaan terima kasih sekali lagi diucapkan kepada semua penderma yang bermurah hati menghulurkan sumbangan kepada pihak Yayasan. Berkat jasa baik anda semua, semoga lebih dimurahkan rezeki oleh Allah s.w.t.

Sekian, terima kasih.

- Dato' Hj Shakir Husein Bin Kalid -