Search This Blog

Friday, April 12, 2013

Ucapan Aluan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YWJ sempena Malam Amal YWJ 2013



Assalamualaikum wbt.

Pertamanya, setinggi-tinggi jutaan terima kasih kepada semua penderma yang telah bermurah hati sudi memberikan sumbangan ikhlas kepada Yayasan Anak-Anak Yatim Wardatul Jannah. Jasa baik anda semua adalah amat dihargai, moga Tuhan membalas amal jariah anda ini dengan sebaiknya, in shaa Allah. Selain itu, ribuan terima kasih juga diucapkan kepada semua AJK Pembangunan YWJ yang telah bertungkus lumus menjayakan program pada malam ini. Tanpa ada semua, tidak akan ada majlis yang sebegini meriahnya.

Sesungguhnya komitmen untuk membela nasib anak-anak yatim dan fakir miskin ini adalah komitmen yang perlu ditingkatkan dari masa ke masa bersesuaian dengan kata-kata “the more you give, the more you will get”. Hal ini juga bertepatan dengan sabda Nabi Muhammad s.a.w.: “Tidak akan dikurangi harta dengan sebab bersedekah, Allah tidak menambah keampunan seseorang hamba melainkan seseorang itu ditambahkan dengan kemuliaan. Tidaklah seseorang itu merendah diri kerana mengharapkan keredhaan Allah melainkan akan diangkatkan darjatnya.” H.R. Muslim. Justeru, sedekah ini adalah amat dituntut oleh Islam seiring dengan nilai kebaikan sejagat seperti prihatin, menjaga kepentingan masyarakat yang mana golongan yang mampu memberi bantuan kepada golongan yang serba kekurangan.

Buat pengetahuan semua, pihak Yayasan kini sedang dalam rangka usaha untuk membangunkan sebuah kompleks pembangunan modal insan bagi menempatkan lebih ramai anak yatim dan fakir miskin. Sehingga kini, pihak kami telah berjaya mendapatkan tapak tanah untuk pembinaan kompleks tersebut. Maka untuk fasa seterusnya, kami sedang giat mendirikan bangunan kompleks yang bernilai RM 1 juta tersebut. Melalui kompleks pembangunan insan ini kelak, pihak Yayasan berharap untuk menyediakan prasarana kehidupan yang lebih baik kepada penghuni-penghuninya dengan keutamaan pendidikan agama dan akademik serta sahsiah yang tinggi seiring dengan motto Yayasan sendiri iaitu Insaniah, Rabbaniyah dan Wasatiyyah.

Akhir kata, jutaan terima kasih sekali lagi diucapkan kepada semua penderma yang bermurah hati menghulurkan sumbangan kepada pihak Yayasan. Berkat jasa baik anda semua, semoga lebih dimurahkan rezeki oleh Allah s.w.t.

Sekian, terima kasih.

- Dato' Hj Shakir Husein Bin Kalid -

No comments: