Alhamdulillah setelah hampir 2 tahun menunggu kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan, akhirnya permohonan Yayasan untuk membangunkan Kompleks Pembangunan Insan Yayasan Wardatul Jannah di Lot No 1 Jalan Rimba Riang 9/1, Kota Damansara akhirnya tercapai jua.
Sehubungan dengan itu, Majlis Pecah Tanah telah disempurnakan pada pagi Sabtu 13 Jun 2015 oleh Dato' Sri Haji Mahamad Fathil Dato' Mahmood, Group Executive Chairman, MFDM Holdings Berhad.
Majlis yang dihadiri oleh kira-kira 100 orang tetamu itu telah dimulakan dengan nyanyian salawat yang disampaikan oleh anak-anak Pusat Tahfiz berhampiran, disusuli dengan ucapan alu-aluan daripada Pengerusi Yayasan Wardatul Jannah, Dato' Shakir Husein Kalid.
Sebagai simbolik perasmian, setelah Ucapan Perasmian disampaikan, Y Bhg Dato' Sri Haji Mahamad Fathil Dato' Mahmood meneruskan upacara pecah tanah dengan mengoperasikan "backhoe" untuk
membuat penggalian pertama di tanah milik Yayasan.
Pembinaan kompleks tersebut dijangka akan mengambil masa di antara 12 - 18 bulan untuk disiapkan. Fasa pertama ini bakal dibina di atas kira-kira sepertiga daripada keluasan tanah yang ada. Buat permulaan, kompleks ini mampu memuatkan kira-kira 50 orang anak-anak yatim dan fakir miskin pada satu-satu masa. Fasa seterusnya akan dirancang bersesuaian dengan permintaan setempat serta kemampuan kewangan Yayasan.
Majlis telah mendapat liputan media dari pihak Berita TV1 dan disiarkan melalui Berita Semasa TV1 pada petang yang sama. Upacara tersebut juga turut dikongsi dalam Malaysia 1News Online melalui pautan http://www.malaysia1news.my/portal/video/13920
Majlis diakhiri dengan ucapan doa serta sedikit jamuan ringan.
No comments:
Post a Comment