Search This Blog

Monday, November 16, 2009

Ziarah Anak-Anak Yatim dan Fakir Miskin dari Pantai Dalam



Berita gembira buat penghuni Wardatul Jannah kerana mereka bakal menerima sahabat-sahabat baru dari Pantai Dalam!

Pada hari Sabtu 14 November 2009, kira-kira jam 9.00 pagi, Wardatul Jannah telah menerima kunjungan rombongan dari Pantai Dalam. Rombongan yang diketuai oleh Ustaz Dino ini disertai oleh 6 orang anak yatim dari Pantai Dalam, diiringi oleh ibu masing-masing. Tujuan ziarah ini ialah untuk saling mengenali antara calon bakal penghuni dan famili Wardatul Jannah.

Ibu-ibu dan AJK pengiring diberi peluang menilai sendiri fasiliti Wardatul Jannah supaya mereka lebih yakin dan selesa untuk melepaskan anak-anak kesayangan masing-masing di bawah jagaan Yayasan Wardatul Jannah. AJK Pengiring juga mendapat pendedahan terus tentang pengurusan Wardatul Jannah dan bagaimana kerjasama berpanjangan boleh diusahakan di antara kedua-dua belah pihak. Anak-anak pula boleh melihat sendiri tempat yang bakal menjadi rumah kedua mereka nanti sekiranya persetujuan dicapai oleh semua pihak yang terlibat.

Pihak Wardatul Jannah sangat berbesar hati menerima kedatangan rombongan ini dan diharapkan satu kerjasama erat dalam mendidik dan membentuk sahsiah anak-anak harapan bangsa ini akan berpanjangan.

Gotong Royong Bersama Seliatek Industries

Laman wardatuljannah semakin berseri apabila Seliatek Industries dari Taman Industri Sungai Buloh telah bermurah hati menyumbangkan 1000 kaki persegi rumput yang ditanam beramai-ramai pada hari Sabtu, 8 November 2009 yang lalu. Program gotong-royong yang diserikan dengan kehadiran pemilik Seliatek Industries, Haji Wahid dan Haji Kassim telah bermula seawal 8.30 pagi dan berakhir kira-kira jam 11.00 pagi. Projek CSR syarikat ini turut dimeriahkan oleh kira-kira 30 orang warga Seliatek yang bermandi peluh meratakan tanah dan menanam rumput bersama-sama dengan AJK Wardatul Jannah. Tambah menyeronokkan, Seliatek turut menyumbang sarapan pagi yang dinikmati bersama-sama dengan penghuni yatim Wardatul Jannah.

Program ini diakhiri dengan penanaman pokok rambutan bersama-sama di pojok laman Wardatul Jannah oleh Haji Wahid dan Haji Kassim selaku wakil Seliatek, dan Dato' Shakir Husein Kalid dan Haji Ab Talib Md Yatim bagi pihak Wardatul Jannah. Semoga pokok rambutan ini tumbuh subur sepertimana suburnya sikap dermawan para penyumbang.

Friday, October 30, 2009

Sumbangan Sukarelawan Dialu-alukan


Pihak Yayasan Wardatul Jannah sangat mengalu-alukan sumbangan ikhlas daripada para sukarelawan untuk membantu kami mendidik dan membangunkan anak-anak Wardatul Jannah samada dari segi material, fizikal, intelektual mahupun spiritual.

Buat masa ini anak-anak Wardatul Jannah terdiri daripada kanak-kanak lelaki berumur antara 10 - 12 tahun. Mereka sangat memerlukan bimbingan di dalam bidang pelajaran untuk meningkatkan tahap pencapaian mereka. Oleh itu, pihak yayasan amat-amat mengalukan sumbangan masa daripada para sukarelawan di kejiranan Kota Damansara yang berkelapangan untuk mengendalikan kelas persediaan (PREP) secara percuma untuk mata pelajaran teras seperti Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains. PREP akan diadakan pada setiap malam antara pukul 8.00 malam - 9.45 malam.

Selain daripada itu, pihak Yayasan juga berbesar hati sekiranya ada di kalangan sukarelawan yang sudi mengendalikan aktiviti hujung minggu bersama anak-anak Wardatul Jannah. Program yang dicadangkan termasuklah lawatan ke kebun buah atau tempat-tempat menarik yang boleh menambahkan pengetahuan am anak-anak ini, kelas seni mempertahankan diri dan seumpamanya.

Sila hubungi Pengurus Yayasan Wardatul Jannah, Hj Ab Talib Md Yatim (019-2248970) atau mana-mana pemegang amanah/AJK untuk perbincangan lanjut atau e-mailkan ke YWJannah@gmail.com

Jawatan Kosong : Diperlukan Segera



Yayasan Wardatul Jannah memerlukan pekerja-pekerja berinisiatif,ceria, sukakan kanak-kanak dan sanggup bekerja pada hujung minggu untuk mengisi jawatan-jawatan kosong berikut:

1. Warden (lelaki sahaja)
2. Tukang Masak
3. Tukang Cuci
4. Kerani Am

Kepada yang berminat, sila hubungi Pengurus Yayasan Wardatul Jannah, Haji Ab Talib Md Yatim (HP 019-2248970) atau e-mailkan permohonan ke YWJannah@gmail.com sebelum 15 November 2009

Wednesday, October 28, 2009

Sumbangan daripada SAAG


Pihak Wardatul Jannah mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua dermawan yang telah bermurah hati menyumbangkan wang, masa, peralatan dan sebagainya kepada Wardatul Jannah.

Pihak kami sentiasa mengalu-alukan sumbangan daripada semua pihak termasuklah sukarelawan untuk membantu anak-anak yatim menjalani program "prep" setiap malam bagi menolong mereka membuat persediaan menghadapi pelajaran di sekolah pada hari berikutnya.

Wednesday, October 21, 2009

Gotong Royong


Padang permainan di rumah wardatul jannah telah siap dibuat secara gotong royong...........................................

Thursday, September 10, 2009

Ziarah ke Pelabuhan Kelang


Ahli Lembaga Pemegang Amanah yayasan telah menziarahi Puan Siti Norliah Samidi di Bandar Sultan Sulaiman, Pelabuhan Kelang pada 5 September yang lalu.

Puan Norliah yang baru kehilangan suami semenjak bulan Mac tahun lepas, kini terpaksa bersendirian menanggung sara hidup anak-anaknya seramai 4 orang, berusia antara 2 tahun - 11 tahun. Pihak Yayasan telah bersetuju untuk membantu menjaga dua daripada anaknya,


  • Amirul Hessham (11 tahun)

  • Ammar Haffizey (10 tahun)

di rumah anak-anak yatim Wardatul Jannah

Lawatan ke Kuala Kubu Bharu



Pada bulan September 2009, Pengurus Rumah anak-anak Yatim Wardatul Jannah, diringi oleh beberapa ahli jawatankuasa telah menziarahi beberapa keluarga calon penghuni di Kuala Kubu Bharu. Rombongan pihak yayasan telah bersetuju menerima 5 orang anak yatim sebagai penghuni baru di Wardatul Jannah. Anak-anak akan mula melaporkan diri selepas cuti Hari Raya Aidil Fitri

Ahlan Wa Sahlan Adik Farizwan dan Adik Azwan


Alhamdulillah pada 16 August 2009, pihak rumah anak-anak yatim Wardatul Jannah telah menyambut kedatangan dua penghuni perintisnya iaitu adik Farizwan dan adik Azwan.