Search This Blog

Program Sahabat Wardatul Jannah

Barangkali anda berminat kepada kerja-kerja kebajikan dan berhasrat memberikan sumbangan tertentu kepada pihak Yayasan, tetapi bukan di dalam bentuk kewangan. Anda sentiasa dialu-alukan untuk menjadi Sahabat Wardatul Jannah.

Sumbangan material bukanlah segala-galanya. Umum mengetahui bahawa sumbangan kewangan dan kebendaan membantu memenuhi keperluan fizikal untuk makanan, pakaian dan tempat tinggal; tetapi anak-anak tanpa keluarga sempurna ini perlu kepada pengisian-pengisian lain yang membantu membangunkan minda, jiwa dan roh mereka.

Sebagai seorang Sahabat Wardatul Jannah, anda boleh membantu pihak Yayasan dengan menyumbang melalui perkara-perkara berikut:

1. membangunkan sisi akademik anak-anak melalui kelas tambahan atau tution percuma secara sukarela
2. membangunkan sisi kreatif melalui kelas-kelas "art and craft"
3. mengendalikan program-program rekreasi
4. menjadi sukarelawan yang membantu pihak Yayasan menjalankan projek-projek tertentu

Semuanya bergantung kepada kemahuan, keupayaan dan kerelaan anda sendiri.

KENALI KELEBIHAN DAN KEPAKARAN ANDA

Sahabat Profesional

Anda seorang profesional?

Anda mungkin mempunyai kepakaran ICT dan cekap menggunakan peralatan terkini serta perisian-perisian yang bermanafaat kepada anak-anak. Anda mungkin boleh meluangkan 1 jam seminggu atau 2 jam sebulan untuk memberi tunjuk ajar kepada anak-anak bagaimana untuk menggunakan perisian Microsoft Office untuk membantu mereka menyediakan tugasan sekolah dengan lebih canggih dan berkesan. Anda juga boleh mendidik mereka menggunakan komputer bagi mencari maklumat-maklumat berguna, sama ada untuk menambahkan pengetahuan am atau meningkatkan pemahaman mereka terhadap tajuk yang diajar di sekolah.

Anda mungkin seorang pakar nutrisi yang boleh memberikan khidmat nasihat pemakanan yang bersesuaian, sama ada kepada anak-anak yatim yang ditempatkan di Wardatul Jannah, tukang masak kami atau ibu-ibu kepada anak-anak Wardatul Jannah (kami mengadakan perjumpaan sebulan sekali dengan ibu anak-anak ini) kerana ibu-ibu ini juga boleh memenafaatkan pengetahuan ini apabila membesarkan anak-anak kecil atau anak-anak perempuan mereka yang tidak ditempatkan di Wardatul Jannah.

Anda mungkin seorang doktor yang boleh memberi khidmat saringan kesihatan percuma. Sekiranya anda seorang doktor gigi, anda mungkin boleh menawarkan perkhidmatan rawatan gigi pada kadar istimewa atau lebih menarik, secara percuma!

Sama ada anda akauntan atau jurutera atau peguam atau apa sahaja, sifat pemurah anda tentu boleh memberikan anda idea bagaimana hendak berkongsi kepakaran anda dengan pihak Yayasan.

Malah kalau anda penulis atau wartawan, mungkin anda boleh sebarkan maklumat tentang maklumat kami di dalam media yang anda perjuangkan...

Sahabat Pelajar

Sekiranya anda seorang pelajar sekolah menengah atau pelajar institusi pengajian tinggi, anda boleh merangka aktiviti yang boleh dijalankan di Wardatul Jannah melalui kelab-kelab dan persatuan yang anda sertai. Umpamanya, sebagai ahli Kelab Kerjaya, anda boleh mengaturkan sessi bimbingan kerjaya untuk adik-adik ini. Kalau anda ahli Kelab Kembara, anda boleh mengaturkan program rekreasi bagi menberi pendedahan kepada penghuni di sini. Malah, anda mungkin boleh membantu menerapkan semangat keusahawanan di kalangan anak-anak yatim ini melalui program pengumpulan dana yang dijalankan oleh Kelab Keusahawanan anda.

Sebagai penggiat kelab seni dan sastera, bantu mereka menggilap bakat terpendam - mana tahu pengalaman hidup mereka yang perit mungkin boleh digubah menjadi karya yang indah! Kalau anda menerajui Kelab Seni Mempertahankan Diri, kongsikan ilmu pendekar supaya jangan jadi mangsa buli.

Pengakap atau Persatuan Bulan Sabit Merah atau Pandu Puteri - terlalu banyak yang boleh anda sumbangkan kepada kami!

Sahabat Suri

Ramai suri rumah merasakan seperti tidak dapat membantu, samada kerana kekangan-kekangan tertentu. Kurang tepat! Anda sebenarnya boleh turut sama membantu. Mana tahu, anda mungkin ada resipi-resipi istimewa yang lazat untuk dikongsi bersama. Sama ada anda memasak sendiri di rumah dan kemudiannya disumbangkan kepada anak-anak ini, atau datang memasak di Wardatul Jannah sendiri, atau membantu menunjuk-ajar tukang masak kami - semuanya amat bermakna untuk kami.

Anda juga boleh membantu, siapa tahu, menjahit butang-butang baju anak yang tercabut atau jahitan lapisan kaki seluar anak yang tetas. Maklum sahaja' kami mungkin tidak sempat atau menangguhkan masa untuk menghantarnya ke kedai tukang jahit.